Kes cerai Puteri Sarah dan Syamsul Yusof tunggu keputusan JKP - Peguam
Fareez Azman
Mei 25, 2023 18:12 MYT
Mei 25, 2023 18:12 MYT
KUALA LUMPUR: Peguam Syarie yang mewakili pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata anak guamnya kini menunggu keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi melihat keputusan lanjut berhubung permohonan cerai dengan suaminya Syamsul Yusof.
Menurut Akberdin, sekiranya dapatan JKP mendapati perkahwinan berkenaan tidak dapat diselamatkan, proses Hakam akan diambil oleh anak guamnya.
"Kita akan pergi ke Hakam Kerabat dan selepas itu akan pergi ke Hakam Mahkamah. Patutnya hari ini keputusan ditentukan tetapi Hakim saja hendak dengar undang-undang yang sedia diguna pakai.
"Walaupun, dalam undang-undang tiada prosedur atau kaedah yang jelas bagaimana hendak laksanakan prosiding JKP," jelasnya ketika ditemui media di Mahkamah Syariah di sini pada Khamis.
Terdahulu, Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah menolak permintaan Syamsul untuk dikecualikan daripada hadir bagi sebutan pertama kes hari ini.
Abdul Halim bagaimanapun, memerintahkan agar kes itu didengar kedua-dua pihak.
Pada masa sama, Abdul Halim turut mengarahkan Puteri Sarah selaku defendan kes memfailkan jawapan terhadap injuksi ex-parte bagi menghalangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pergolakan rumah tangga mereka di sosial media.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, Puteri Sarah dilihat tiba di mahkamah pada jam 2.30 petang, disusuli Syamsul yang tiba sekitar jam 2.42 petang Khamis.
Pada 18 April lalu, pasangan berkenaan pada asalnya dijangka menemui jalan penyelesaian terhadap krisis rumah tangga mereka, namun, keadaan sebaliknya pula berlaku apabila Syamsul menarik balik keputusannya untuk menceraikan Puteri Sarah.
Syamsul berkata, keengganannya melepaskan Puteri Sarah disebabkan oleh isterinya menambah beberapa terma dalam perjanjian perceraian mereka termasuk isu nafkah dan kes terhadap madunya, Ira Kazar.
Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul mengejutkan dunia hiburan apabila membuat pengakuan memadukan Puteri Sarah dengan menikahi Ira Kazar di Thailand.