Kes cabul tular: Pemandu e-hailing didakwa di mahkamah

Bernama
Jun 18, 2024 15:55 MYT
Gambar tangkap layar video tular seorang lelaki menyentuh punggung wanita di sebuah kedai runcit peralatan pembaikan rumah di Selayang minggu lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang videonya tular kerana menyentuh punggung seorang wanita di sebuah kedai runcit peralatan pembaikan rumah di Selayang minggu lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Irwan Iesa, 38, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan wanita berusia 38 tahun itu di dalam kedai berkenaan di Selayang pada 2 petang, 4 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Gan Sing Gee dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah atas alasan isteri tertuduh sarat mengandung.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#kes cabul #Tular #CCTV #identiti suspek
;