Kes cabul di masjid: Polis siasat dakwaan suspek miliki kad OKU
Bernama
Februari 21, 2025 19:00 MYT
Februari 21, 2025 19:00 MYT
Datuk Hussein Omar Khan (foto) berkata suspek baru sahaja ditahan dan pihaknya masih menyiasat kesahihan dakwaan terbabit. -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan lelaki ditahan berhubung kes cubaan mencabul seorang kanak-kanak perempuan di masjid di Batang Kali pagi tadi, memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Ringkasan AI
- Polis sedang menyiasat dakwaan bahawa suspek yang ditahan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU). Suspek, seorang lelaki berusia 19 tahun, ditahan untuk membantu siasatan selepas laporan dibuat pada 8.19 pagi.
- Kejadian berlaku ketika mangsa, seorang kanak-kanak perempuan, sedang menunaikan solat bersendirian di saf belakang ruang solat wanita. Suspek menyelinap masuk, memeluk mangsa dari belakang, dan cuba mencabulnya sebelum melarikan diri.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek baru sahaja ditahan dan pihaknya masih menyiasat kesahihan dakwaan terbabit.
"Kita belum dapat maklumat dan masih menyiasat dakwaan orang ramai yang mengatakan suspek memiliki kad OKU," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim dilaporkan berkata pihaknya menahan seorang lelaki berumur 19 tahun bagi membantu siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian pada 8.19 pagi.
Dalam pada itu, Hussein ketika mengulas kes yang turut tular di media sosial itu berkata ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat bersendirian di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Beliau berkata ibu mangsa yang juga pengadu dalam kes itu memaklumkan telah membawa dua anaknya ke masjid untuk menunaikan solat subuh, tetapi hanya mangsa yang bersembahyang di bahagian belakang.
"Susulan laporan yang dibuat wanita itu, polis bertindak menahan suspek pada tengah hari tadi di Batang Kali dengan bantuan orang ramai," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Awal pagi tadi, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak dari arah belakang ketika sedang bersujud dan melarikan mangsa tanpa disedari jemaah lain.
Lelaki itu juga dilihat bergelut untuk cuba mencabul mangsa sebelum melarikan diri selepas mangsa melawan.
-- BERNAMA