Kes cabul atlet Sukma: Bekas jurulatih boling dibebaskan

Sinar Harian
Ogos 22, 2024 14:50 MYT
Muhammad Nadzir Abdullah dan Marlisa Marzuki dari Mohd Hayyatuddin & Co bersama anak guam mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Khamis.
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas penolong jurulatih boling dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas dakwaan kes cabul ke atas seorang atlet Sukan Malaysia (Sukma) tujuh tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan menerima rayuan dikemukakan oleh Mat Salleh Jalani, 61, serta mengetepikan perintah sabitan dan hukuman penjara selama 18 bulan yang telah diputuskan oleh Mahkmah Majistret sebelum ini
"Rayuan dibenarkan, digantikan dengan perintah lepas dan bebas," katanya.
Dia sebelum ini berdepan pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan dengan memegang kemaluan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan semasa dalam kereta bertempat di parkir kereta Paya Bunga Sentral, di sini kira-kira jam 5 petang pada Mei 2017.
Mat Salleh sebelum ini dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dengan satu pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Hukuman ke atasnya berkuat kuasa dari tarikh sabitan bersalah pada 31 Januari 2024.
Seramai 11 saksi telah dipanggil bagi memberikan keterangan untuk membuktikan satu kes prima facie bagi pertuduhan tersebut.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala Mat Salleh diwakili peguam, Muhammad Nadzir Abdullah dan Marlisa Marzuki dari Mohd Hayyatuddin & Co. - Sinar Harian
#SUKMA #kes cabul #jurulatih boling #terengganu