Kes bunuh tiga sekeluarga: Reman suspek disambung
Bernama
September 1, 2016 19:37 MYT
September 1, 2016 19:37 MYT
Suspek kes bunuh yang melibatkan tiga sekeluarga di Kampung Bertam Malim di sini Khamis minggu lepas disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata permohonan tempoh sambung reman adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap suspek yang berumur 26 tahun itu terutama berkaitan punca dan motif kejadian.
"Polis masih menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes ini sebelum proses dakwaan boleh dilakukan," katanya kepada pemberita.
Dalam kejadian awal pagi Khamis lepas itu, Pengerusi Tetap Umno Tangga Batu, Mariah Baharin, 60, bersama suaminya Hassan A.Wahab, 70, dan anak lelaki mereka Mohammad Taufeq, 22, ditemukan mati dikelar dipercayai oleh anggota keluarga angkat pasangan itu, dikatakan seorang penagih dadah.
Dua lagi anak perempuan mangsa iaitu Noor Haslinda Diyana, 26, dan Nuraqedah Aeina, 24, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Melaka.
Pada 26 Ogos, perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan penolong pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh.