Kes bunuh Tapah: Polis temui gigi dan serpihan tulang dipercayai milik mangsa

Bernama
November 4, 2015 21:31 MYT
Anggota polis forensik mengutip dua barang kes yang dijumpai di lokasi bengkel membaiki kenderaan di Jalan Pahang dekat Tapah, Rabu. Barang-barang ini dipercayai berkaitan dengan siasatan polis ke atas kes pembunuhan empat individu. - Gambar Bernama
Polis menemui gigi, serpihan tulang, kasut dan pakaian dipercayai milik mangsa bunuh di sekitar kawasan rumah suspek di Jalan Pahang, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Jenayah Negeri ACP Goh Kok Liang berkata kesemua barangan tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Jabatan Kimia untuk tujuan post-mortem dan analisis DNA, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati polis membawa keluar barangan yang ditemui pada kira-kira 5.30 petang dari kawasan rumah suspek.
Goh berkata sehingga petang ini, tiada laporan mengenai mangsa lain yang dibunuh atau sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih menjalankan siasatan.
Isnin lepas polis menahan sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh melibatkan sekurang-kurangnya empat individu di sekitar daerah Tapah, 65 kilometer dari sini minggu lepas.
Kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pahang, Tapah pada kira-kira 1.30 tengah hari pada 26 Okt lepas.
Mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini.
#gigi #Goh Kok Liang #Hospital Raja Permaisuri Bainun #Jabatan Kimia #Pembunuhan #tulang
;