Kes bunuh Tapah: Anak mangsa terpaksa dipujuk duduki SPM

Bernama
November 6, 2015 09:30 MYT
Dua suspek (baju jingga) kes pembunuhan empat individu dibawa ke lokasi sebuah bengkel membaiki kenderaan milik mereka di Jalan Pahang dekat Tapah, Rabu, bagi membantu siasatan polis.- fotoBERNAMA
"Isteri Jasbeer tak berhenti menangis, anak-anak pula tidak mahu pergi ke sekolah," kata Karamjit Singh, 54.
Itu yang diluahkan abang sulung Jasbeer Singh, 46, yang dipercayai dibunuh empat sekeluarga di sekitar bengkel membaiki kenderaan berat di Jalan Pahang di sini.
"Saya minta adik perempuan saya yang menetap di Ipoh untuk bawa dia (isteri mangsa) dan anak-anak pergi ke Ipoh .. tak mahu dia terlampau memikir sangat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Khamis.
Jasbeer merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dipercayai dibunuh suspek selepas dilaporkan hilang pada 25 Ogos lepas.
Menurut Karamjit, isteri dan anak-anak mangsa mungkin pulang ke sini pada minggu hadapan.
Katanya, anak perempuan mangsa sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Chenderiang, di sini.
"Setiap hari masa peperiksaan akan ulang alik dari Ipoh sampai ke Chenderiang untuk menduduki SPM. Pada mulanya dia tak mahu ambil SPM tetapi setelah dipujuk banyak kali dia pergi" katanya.
GALERI FOTO: Pembunuhan sadis di Tapah
Adik Jasbeer, Harjit Singh, 40, berkata beliau telah mendapatkan penjelasan daripada polis yang menafikan laporan akhbar tempatan berhubung cebisan daging mangsa diberikan kepada anjing.
"Semua anggota keluarga yang lain terguris dengan laporan itu. Saya bimbang orang ramai akan mempercayai laporan berkenaan, sedangkan pihak polis menjelaskan bahawa perkara itu tidak berlaku.
"Saya tanya kepada polis betul ke apa yang dilaporkan (beri anjing makan daging mangsa) dan mereka kata ia tidak berlaku," katanya yang hadir bersama abang seorang lagi yang dipercayai turut menjadi mangsa, Ng Chee Meng @ Kurunadan.
Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan penduduk setempat mendakwa cebisan daging mangsa yang telah dibakar diberikan kepada anjing peliharaan suspek.
Dalam pada itu, Harjit Singh berkata anggota keluarga sedang menunggu pengesahan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) mangsa.
"Apabila sudah sah baru kami bersedia beri kenyataan," katanya.
Sementara itu, anak tiri kepada seorang lagi dipercayai mangsa dalam kes itu, R.Duriahsinggam, 47, berkata sambutan Hari Deepavali tahun ini suram dengan kehilangan ibu tirinya, V.Gunavathi, 56, dan nenek isterinya.
"Walaupun tidak rapat sangat dengan ibu tiri tetapi tahun ini perayaan lebih kepada upacara sembahyang," katanya.
#bengkel membaiki kenderaan berat #cebisan daging mangsa diberikan kepada anjing #dibunuh empat sekeluarga #Jasbeer Singh #Karamjit Singh #Tapah
;