Kes bunuh Syed Amen: Polis kenal pasti warna kulit, pakaian suspek
Astro Awani
Februari 12, 2016 19:25 MYT
Februari 12, 2016 19:25 MYT
Polis berjaya mengenal pasti warna kulit dan pakaian dua suspek yang sedang diburu berhubung kes tembak mati pengusaha restoran nasi kandar, Syed Amen Jainul Abidin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang, ACP Mior Farid Alathrash Wahid memaklumkan, petunjuk itu diperolehi hasil rakaman video litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar.
"Penembak berusia dalam lewat 20-an, berkulit putih (cerah), manakala yang penunggang motosikalnya berkulit gelap. Mereka berpakaian simple; berseluar panjang, pakai t-shirt dan saya percaya mereka warga tempatan," jelas Mior Farid dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mior Farid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut memandangkan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
"Ada yang kata di dalam komen-komen yang diberikan dan sebagainya mengatakan bahawa ini tindakan diambil oleh pegawai JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) ekoran daripada tindakan si mati pernah memaki hamun pegawai. Si mati telah pun dituduh di mahkamah ekoran tindakan beliau.
"Kes itu masih dalam perbicaraan sebagainya," tegasnya.
Beliau mengulas mengenai spekulasi yang mendakwa pembunuhan mangsa mempunyai kaitan dengan laporan polis terhadap JPJ.
Dalam kejadian awal pagi Khamis, Syed Amen, 46, yang juga pengusaha pusat mencucui kereta di Pulau Pinang ditembak mati di dalam keretanya dari jarak dekat.
Mangsa sedang menanti perbicaraan berhubung kes mengaibkan seorang pegawai JPJ pada November tahun lepas.