Kes bunuh Segambut: Mayat tiga beranak di HKL dituntut keluarga
Bernama
November 12, 2016 17:00 MYT
November 12, 2016 17:00 MYT
Mayat tiga beranak dipercayai dibunuh di sebuah rumah sewa di tingkat dua Apartmen Nova, Taman Sri Sinar, Segambut di sini, 26 September lepas dituntut hari ini.
Mayat Cheah Hing Soon, 34, serta anak perempuannya Cheah Kai Sze, 3, dan bayi lelaki berusia tujuh bulan, Cheah Kai Wen, dituntut keluarga mereka dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Mayat tiga beranak itu akan dibawa ke pusat pengurusan mayat Kwong Tong, Sungai Besi, di sini bagi upacara keagamaan dan penghormatan terakhir.
Bagaimanapun, anggota keluarga mangsa enggan ditemu bual media.
Pada 26 September lepas, mayat lelaki itu dan dua anaknya dijumpai di rumah sewa mereka di pangsapuri itu.
Mayat bayi dan kanak-kanak itu dijumpai dalam dua bekas simpan barang besar yang ditutup dengan plastik dalam sebuah bilik manakala mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan terlentang di bilik tidur utama.
-- BERNAMA