Kes bunuh Sabari: Dua suspek direman seminggu

Astro Awani
Oktober 11, 2024 13:26 MYT
Trak lori yang membawa dua suspek yang telah berada dalam penahanan polis sejak 27 Sept lalu. - foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Dua lelaki direman seminggu bagi membantu siasatan kes bunuh pesara Felcra, Sabari Baharom di Mahkamah Majistret Sungai Petani, di sini, pada Jumaat.
Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Oktober dikeluarkan Majistret Anis Suraya Ahmad ke atas kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu
Penahanan terhadap kedua-dua lelaki itu bagi polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Sabari, 62, dipercayai hilang pada 3 September lalu dipercayai keluar dari rumahnya menaiki kereta Proton Waja.
Bagaimanapun, mangsa gagal dihubungi ahli keluarga serta tidak pulang ke rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling sejak dilaporkan hilang.
Kehilangan itu bertambah misteri apabila kereta milik mangsa ditemui dibakar di
di Kampung Pulau Belantek, Sik.
Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun bank milik orang lain dalam tempoh beberapa hari selepas kehilangannya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, polis menahan dua suspek terbabit pada 27 September bagi membantu siasatan.
Menurut Datuk Fisol, hasil siasatan lanjut, suspek telah membuat pengakuan bahawa tangan mangsa diikat, manakala mulut ditutup menggunakan pita pelekat sebelum mangsa dicampak ke Sungai Padang Terap, dekat Derang, Jitra.
Operasi pencarian telah dilakukan di sepanjang sungai selama tiga hari dari 30 September hingga 2 Oktober melibatkan pelbagai agensi.
Namun, polis memutuskan untuk menghentikan operasi mencari pada 3 Oktober berikutan tidak menemui sebarang petunjuk.
Sebelum ini, dua suspek sama telah pun direman bagi membantu siasatan berhubung kebakaran kereta milik mangsa yang ditemui di Sik, Kedah.
#kes bunuh Sabari Baharom #kawasan pembuangan sampah #dicampak di Sungai Padang Terap #kereta mangsa dibakar
;