Kes bunuh penyanyi: Bedah siasat temui 14 kesan tikaman, termasuk 5 di dada
Astro Awani
Februari 26, 2025 18:06 MYT
Februari 26, 2025 18:06 MYT
Seorang penyanyi sambilan yang juga ibu kepada tiga anak ditemui mati dipercayai dibunuh teman lelaki di rumah sewa akibat cemburu, Ahad lalu. - Gambar fail/ Sinar Harian
MELAKA: Polis mengesahkan terdapat 14 kesan tikaman, termasuk satu yang menembusi pembuluh darah utama, pada mayat penyanyi sambilan yang dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di sebuah rumah di Taman Seri Mangga, Pokok Mangga, Melaka, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pengesahan kesan tikaman itu diperoleh hasil keputusan bedah siasat selama lapan jam yang dilakukan oleh pakar perubatan forensik Hospital Melaka pada Isnin.
"14 luka tikaman itu masing-masing tiga di bahagian muka, lima di dada, lima di lengan dan tangan, serta satu luka tikaman pada bahagian betis kanannya.
"Selain itu, terdapat juga kesan luka hiris pada bahagian dada dan tangan kiri serta kesan lebam di bahagian dahi mangsa.
"Pemeriksaan dalaman pula mengesahkan terdapat kecederaan yang menyebabkan kematian iaitu satu luka tikaman di dada kiri yang telah menembusi 'aorta interkostal kedua' dan menembusi sehingga ke 'ascending aorta'.
"Keadaan itu mengakibatkan pendarahan dan pengumpulan darah dalam kantung jantung sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wanita itu yang bekerja sebagai penyanyi dan pelayan di dsebuah pusat hiburan juga disahkan telah meninggal dunia lebih dari 24 jam ketika bedah siasat dijalankan jam 9 pagi Isnin lalu.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan seorang penyanyi sambilan yang juga ibu kepada tiga anak ditemui mati dipercayai dibunuh teman lelaki di rumah sewa akibat cemburu.
Dalam kejadian jam 11 pagi, mangsa berusia 52 tahun yang menyewa di rumah dua tingkat itu bersama kekasihnya sejak beberapa bulan lalu, ditemui dalam keadaan terbaring atas katil.
Dalam pada itu, Christopher turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden V Somsundram, di talian 06-2842222.