Kes bunuh pengasas AmBank: pemandu teksi mengaku jumpa suspek utama

Bernama
Januari 15, 2014 20:35 MYT
Gambar Fail
Seorang pemandu teksi yang menghadapi pertuduhan memiliki pistol dan peluru hidup berhubung kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi, memberitahu Mahkamah Sesyen dia berjumpa suspek utama kes pembunuhan itu di dua lokasi di sini.
Chew Siang Chee, 45, yang diperintah membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan itu berkata sebelum kejadian pembunuhan berkenaan, dia menemui suspek utama dikenali sebagai 'Ah Kwan' bersama seorang lelaki dikenali sebagai 'Ah Meng' di sebuah tokong Cina dan kedai mamak di Jalan Ceylon.
Dalam pertemuan itu, Chew memberitahu mahkamah Ah Kwan dan Ah Meng ada merancang untuk menembak seseorang, namun dia tidak bersetuju dengan rancangan itu.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam sesi soal balas, sama ada tokong Cina tempat mereka bertemu itu sama dengan tokong Cina di Jalan Ceylon iaitu tempat pembunuhan berlaku, Chew menjawab tidak.
Chew juga bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa dia mengenali suspek utama kes itu dan Ah Meng.
Mengenai pistol yang ditemui di dalam peti surat di Kondominium Desa Cindaimas, Chew yang memberi keterangan di dalam kandang saksi memberitahu mahkamah bahawa dia dianiaya Ah Kwan kerana pernah bermusuh disebabkan wang.
Kepada soalan sama ada dia memberitahu polis mengenai dianiaya oleh Ah Kwan berhubung pistol berkenaan, saksi itu berkata 'tidak'.
Terdahulu, semasa pemeriksaan utama oleh peguam R. Ramesh, Chew berkata dia tidak terlibat dalam pembunuhan itu.
Chew berkata demikian dalam pembelaannya selepas Hakim Azwarnida Affandi memerintahkannya membela diri atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan empat butir peluru hidup selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie.
Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan sembilan saksi pendakwaan. Hari ini ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, Chew didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Walther model PPK/S Cal.9mm Kurz/380ACP bersama satu magazine Walther yang menyalahi undang-undang, di Peti Surat B-15-2, Kondominium Desa Cindaimas, Jalan Sekutu Off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, pada 5.45 petang, 3 Ogos 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Chew juga didakwa memiliki empat butir peluru hidup jenis 9mm (short) (S&B 9mm) tanpa lesen pada masa dan tempat sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 27 Jan untuk mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Media sebelum ini melaporkan pemandu teksi itu dipercayai membawa suspek berhubung kes pembunuhan Hussain yang ditembak mati pada 29 Julai 2013.
Dalam kejadian itu, Hussain, 75, mati manakala seorang wanita, Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini.
#Ah Kwan #ambank #bunuh #pengasas
;