Kes bunuh pelajar kolej vokasional: Permohonan tujuh remaja lelaki untuk diikat jamin ditolak

Bernama
Jun 13, 2024 22:08 MYT
Mahkamah Tinggi menolak permohonan tujuh remaja yang berdepan pertuduhan membunuh seorang pelajar kolej vokasional berusia 17 tahun di Lahad Datu untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu sebutan seterusnya kes itu. - Gambar fail/BERNAMA
TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan tujuh remaja yang berdepan pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki kolej vokasional berusia 17 tahun di Lahad Datu untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu sebutan seterusnya kes itu.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi menolak permohonan jaminan tujuh remaja dituduh membunuh pelajar kolej vokasional di Lahad Datu.
  • Hakim mendapati tiada keadaan istimewa untuk membenarkan jaminan dan permohonan dianggap pramatang.
  • Remaja berumur 16-19 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan perintah agar permohonan bagi mendapatkan jaminan mereka dibenarkan.
Beliau juga berkata permohonan itu adalah pramatang kerana kes itu belum lagi dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mereka bebas berbuat demikian apabila perkara itu berlaku.
Kesemua remaja lelaki diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Amirul Amin Rashid dan Chen Wen Jye manakala Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain dan Ng Juhn Tao bertindak bagi pihak pendakwaan.
Terdahulu, Ram berkata bagi Seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah, pemohon menyedari bahawa ia hanya terpakai kepada mereka yang berusia di bawah 16 tahun, wanita dan individu uzur atau kurang upaya manakala kesemua pemohon kini berumur 17 tahun dan meskipun mereka bukan berusia di bawah 16 tahun, Akta Kanak-Kanak 2001 masih terpakai.
"Dari segi pemohon yang menyaksikan 13 orang telah didakwa dengan tujuh daripada mereka membuat permohonan ini, mereka adalah penduduk tempatan dan berasal dari pelbagai bahagian di Sabah seperti Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud, mereka tidak berisiko melarikan diri serta dijaga oleh ibu bapa masing-masing dan jika jaminan dibenarkan, ibu bapa mereka akan menjadi penjamin," katanya.
Bagaimanapun, Hurman berkata mengikut Seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah, pemohon tidak terjumlah ke dalam mana-mana kategori manakala Seksyen 84 Akta Kanak-Kanak tidak terpakai kepada keadaan semasa mereka.
"Sebab utama untuk jaminan ialah supaya pemohon boleh meneruskan pengajian mereka untuk mendapatkan Sijil Vokasional namun perkara itu tidak lagi mungkin berlaku seperti yang dimaklumkan oleh pengarah kolej vokasional jadi mereak hanya boleh melanjutkan pengajian sebagai calon swasta bagi menduduki SPM.
"Afidavit jabatan penjara amat jelas mengenai kesanggupan dan keupayaan mereka untuk memudahkan langkah ini selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan.
"Kes ini membabitkan banyak saksi dan pelbagai lokasi kejadian yang biasa digunakan oleh pemohon sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan mudah terdedah kepada gangguan," katanya.
Pada 16 Mei lepas, Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan 27 Jun sebagai sebutan semula kes.
Pada 2 April lepas, 13 remaja lelaki berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun didakwa di Mahkamah Tinggi Lahad Datu atas pertuduhan membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada Mac lepas namun tiada pengakuan direkodkan.
Mereka didakwa membunuh mangsa di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu antara 9 malam 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi hari berikutnya.
Pertuduhan terhadap mereka ialah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan 12 kali jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#kes bunuh pelajar kolej vokasional #Lahad Datu #Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan
;