Kes bunuh Nur Farah Kartini: Suspek dilanjut reman tujuh hari lagi

Afiezy Azaman
Julai 22, 2024 02:40 MYT
Perintah lanjutan reman dikeluarkan bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Foto Bernama
HULU SELANGOR: Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah dilanjutkan reman selama tujuh hari lagi bermula esok (Selasa) bagi membantu proses siasatan.
Ini selepas tempoh reman selama seminggu bermula 16 Julai sebelum ini tamat pada hari ini (Isnin).
Perintah lanjutan reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Setakat ini, polis telah menemui beberapa bahan bukti dipercayai milik mangsa antaranya beg tangan dan telefon pintar.
Penemuan itu susulan hasil operasi pasukan forensik di Kampung Sri Kledang serta Sungai Trolak, Perak.
Polis juga telah mengambil beberapa keterangan pekerja sebuah kebun ubi di Slim River, Perak.
Berdasarkan hasil soal siasatan, suspek dikatakan telah pergi ke kebun berkenaan serta beberapa lokasi lain sebelum kejadian.
Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang pada 15 Julai lalu.
Penemuan mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu telah membawa kepada tangkapan seorang suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal.
Allahyarham Nur Farah telah selamat dikebumikan di Pekan, Pahang selepas jenazahnya dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Khamis lalu.
#Nur Farah Kartini Abdullah #suspek #reman #lanjut