Kes bunuh Nur Farah Kartini: Suspek berkhidmat 5 tahun dalam PDRM
Sinar Harian
Julai 16, 2024 16:23 MYT
Julai 16, 2024 16:23 MYT
IPOH: Anggota polis yang direman bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, baharu lima tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, anggota berusia 26 tahun terbabit bertugas di Balai Polis Slim River di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dengan pangkat lans koperal.
Menurutnya, semasa siasatan dijalankan, anggota berkenaan yang dipercayai teman lelaki mangsa telahpun menunjukkan lokasi di mana berlakunya kejadian.
"Saya mengesahkan bahawa kes ini diperlakukan oleh seorang anggota kita dari Balai Polis Slim River.
"Subjek (suspek) telah pun ditangkap dan direman, tindakan selanjutnya perlu tunggu siasatan penuh dari Polis Selangor kerana perlakuan berlakunya kematian itu di Selangor, hanya kehilangan mangsa dilaporkan di Perak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Selasa.
Dalam majlis itu Azizi yang sebelum ini Timbalan Ketua Polis Perak mengambil alih jawatan sebagai Ketua Polis Perak baharu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang dilantik ke jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Azizi berkata, tindakan dan siasatan segera yang digerakkan IPD Muallim selepas menerima laporan kehilangan wanita berkenaan, 11 Julai lalu berjaya membawa kepada penemuan mangsa.
Katanya, langkah itu termasuklah mengedarkan maklumat kehilangan dan gambar mangsa melalui media secara serta-merta.
"Tindakan diambil Ketua Polis Daerah Muallim itu berkesan, dia terus lakukan siasatan orang hilang dan melalui penyiasatan yang dilakukan kita dapat mengesan kejadian sebenar," katanya.
Sinar Harian melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Perak, 10 Julai lalu ditemukan pada petang Isnin.
Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh individu dikenali itu ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa di Hulu Selangor sekitar jam 6 petang. -Sinar Harian