Kes bunuh Nur Farah Kartini: 'Guru saya sangat baik' - Bekas pelajar luah kesedihan

Sinar Harian
Julai 18, 2024 09:30 MYT
Tasya turut memaparkan foto dirinya bersama arwah dan tangkap layar pesanan daripada Allahyarham. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: "Sesungguhnya guru saya adalah orang yang sangat baik. Dunia ini tidak layak untuknya."
Demikian luahan salah seorang bekas pelajar mangsa kes pembunuhan, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dikenali sebagai Tasya menerusi TikTok pada Rabu.
Berdasarkan hantaran itu, dia juga turut memaparkan foto dirinya bersama arwah dan tangkap layar pesanan daripada Allahyarham.
Dalam mesej tersebut, Nur Farah Kartini menasihati pelajarnya yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 untuk berhati-hati dalam memilih rakan.
"Cikgu nak awak sentiasa kuat. Jangan sedih-sedih tau. Awak nak SPM nanti, fokus belajar. Kalau awak takut tak ada kawan, awak cari kawan yang awak boleh percaya. Kalau tak ada pun, awak cari kawan yang hanya sekadar kawan bagi awak.
"Maksudnya masa bila dia ada, adalah tu. Kalau tak ada, biarkan dia. Awak just cari circle awak yang sesuai dengan diri awak je. Orang ni kita tak boleh nak menilai, sebab manusia ni cepat berubah. Lagi pun semua dah besarkan," tulisnya.
Pada Isnin, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kaledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah ditahan dan direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam hantaran sama, arwah Nur Farah Kartini berpesan agar pelajarnya itu tidak terus memendam perasaan, sebaliknya dia perlu meluahkan isi hatinya kepada orang yang boleh dipercayai.
"Sekarang ini hanya di fasa kita nak bina masa depan kita macam mana. Tak kisah orang sekeliling kita ini macam mana sekali pun, yang penting itu diri kita. Kita berjaya suatu hari nanti kita akan jumpa lagi ramai orang.
"Sekarang ni, kalau awak rasa keseorangan tak apa, teruskan. Tapi satu cikgu nak pesan, awak jangan memendam sangat perasaan tau. Tak baik untuk emosi awak nanti.
"Sekurangnya awak cari orang yang awak percaya untuk awak luahkan apa yang rasa. Cikgu doakan yang terbaik untuk awak tau. Cikgu percaya awak pelajar yang baik. Kalau awak nak kongsi apa-apa cerita dengan cikgu pun, cikgu okay saja," katanya. - Sinar Harian
#Nur Farah Kartini #kes pembunuhan #bekas pelajar #Tular