Kes bunuh Nur Farah Kartini: 7 Okt untuk serahan laporan kimia, bedah siasat

Bernama
Ogos 30, 2024 10:40 MYT
Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam 15 Julai lepas. - Foto BERNAMA
HULU SELANGOR: Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini menetapkan 7 Okt untuk penyerahan laporan kimia dan bedah siasat bagi kes Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, bulan lepas.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Asma Che Wan memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua laporan itu masih belum siap.
"Laporan kimia dan bedah siasat masih belum siap dan saya memohon satu tarikh untuk sebutan semula kes," kata Asma.
Peguam Nur Aida Md Zainuddin yang mewakili Muhammad Alif turut mengesahkan perkara itu.
Pada 26 Julai lepas, anggota polis yang bertugas di Perak itu didakwa membunuh Nur Farah Kartini, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang 15 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Ibu dan beberapa ahli keluarga Nur Farah Kartini turut hadir prosiding kes hari ini.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira pukul 6 petang lima hari kemudian.
-- BERNAMA
#Nur Farah Kartini Abdullah #laporan kimia #bedah siasat #Muhammad Alif Monjani
;