Kes bunuh Muhammad Zaharif: Pendakwaan tutup kes, pembelaan fail hujahan bertulis 14 Mac
Bernama
Januari 17, 2025 21:16 MYT
Januari 17, 2025 21:16 MYT
IPOH: Selepas 23 hari perbicaraan dan 33 saksi dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, pihak pendakwaan hari ini menutup kes pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak, yang dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dua tahun lepas.
Saksi yang telah memberi keterangan termasuk Pegawai Penyiasat Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh Inspektor Jong Pit Chao, Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh ASP Chua Sze Yuan, Ketua Unit dan Penganalisa Kemalangan Prinsipal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin dan Pembantu Teknikal Perodua Ameerul Aidil Jamharuddin.
Selain itu, kakak dan bapa mangsa iaitu Nur Zawanie Muhd Zamrie dan Muhd Zamrie juga dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula sejak 4 Nov tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bahawa pendakwaan menutup kesnya selepas saksi terakhir Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh ASP S. Dasarathan selesai memberi keterangan hari ini.
Pihaknya juga mengemukakan tujuh saksi termasuk tiga kanak-kanak kepada pihak pembelaan antaranya Pegawai Sains Kriminalistik Farah Ad-Din Nordin, Pegawai Sains DNA Nor Alfarizan Mokhtaruddin, Pegawai Sains Toksikologi Wan Noor Mahira Majidin serta Pegawai Penyiasat Forensik Makmal ASP Mohamad Nizam Husain.
Susulan itu, Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan 14 Mac ini untuk pasukan pembelaan memfailkan hujahan bertulis dan dibalas pasukan pendakwaan pada 11 April depan.
Beliau juga menetapkan 14 April untuk sebutan semula kes melalui 'zoom' bagi menentukan tarikh hujahan lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Mohd Nazri, 45, daripada pertuduhan atau diperintah untuk membela diri.
Pasukan pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
-- BERNAMA
#kes bunuh
#langgar pelajar
#pegawai kanan polis
#Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie
#DSP Mohd Nazri Abdul Razak
#tutup kes