Kes bunuh Kim Jong-nam: Bicara bela diri dua warga asing 11 Mac

Bernama
Januari 28, 2019 15:55 MYT
Siti Aisyah (depan) dan Doan (belakang) dikawal anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Disember lalu. - BERNAMA
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 hari mulai 11 Mac bagi dua tertuduh warga asing membela diri dalam kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya, selepas bertemu kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan semasa sebutan kes itu hari ini.
Ketika ditemui media, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah, 26, berkata mahkamah juga menetapkan 29, 30 dan 31 Julai untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis masing-masing.
Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, berkata pihaknya akan memanggil lima atau enam orang saksi termasuk orang tempatan dan warga asing bagi memberi keterangan.
"Doan dijangka memberikan keterangannya dari kandang saksi selama seminggu bermula 11 Mac hadapan, manakala Siti Aisyah pula pada 27 Mei," katanya.
Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.
Kedua-dua mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 9 pagi, 13 Feb 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pembelaan mereka belum bermula kerana menunggu permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi daripada pendakwaan.
Pada Khamis lepas, pihak pendakwaan diperintahkan supaya mengemukakan salinan rakaman percakapan saksi kepada peguambela yang mewakili tertuduh warga Indonesia.
Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang membenarkan rayuan oleh peguam yang mewakili Siti Aisyah untuk meminta pendakwaan mengemukakan salinan rakaman percakapan saksi kepada mereka.
Pihak pembelaan memfailkan permohonan berkenaan pada 7 Nov, 2018. -- Bernama
#doan thi huong #Kim Chol #kim jong nam #siti aisyah
;