Kes bunuh Kevin Morais: Seorang lagi ditahan polis

Bernama
September 21, 2015 08:57 MYT
M. Vishwanath (kanan) telah ditahan polis sementara R. Dinishwaran (kiri) masih dijejaki.
Polis berjaya menahan seorang daripada dua lagi lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan Anthony Kevin Morais, kurang daripada 24 jam selepas maklumat awal mengenai mereka didedahkan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata lelaki berkenaan, M. Vishwanath, 25, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, ditahan di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kedah, malam tadi.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Berikutan penahanan terbaru itu menjadikan keseluruhan tahanan untuk kes itu kepada lapan orang, hasil daripada makluman orang awam, menurut Zainuddin dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, polis memaklumkan bahawa Vishwanath dan seorang lagi lelaki yang dikehendaki, R. Dinishwaran, 22, dicari bagi membantu siasatan terhadap pembunuhan Morais yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara.
Gambar kedua-duanya turut didedahkan semalam.
Mayat Morais, 55, ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini Rabu lepas.
Mendiang dilaporkan hilang pada 4 Sept dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q.
#Anthony Kevin Morais #Dinishwaran #kes bunuh #Vishwanath