Kes bunuh juruteknik pergigian: Suspek utama direman
Raffi Bachik
Januari 31, 2018 13:28 MYT
Januari 31, 2018 13:28 MYT
Suspek utama kes bunuh seorang juruteknik pergigian di kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson minggu lalu, diperintah reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Zainudin Ahmad berkata, penahanan reman terhadap suspek berusia 20 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah tahanan reman sehingga 6 Feb ini dikeluarkan penolong pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Nor Haryatie Mohd Said.
Zainudin berkata suspek itu ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan di Johor Bahru, jam 9 malam tadi.
Katanya, hasil tangkapan itu, pihak polis menemui semula motosikal dan topi keledar milik mangsa yang hilang sebelum ini dan penangkapan suspek dipercayai dapat menyelesaikan siasatan kes ini.
Siasatan juga mendapati suspek turut menggunakan kad kredit milik mangsa.
Media sebelum ini melaporkan Mahusin Abd Rahim, 28 tahun, ditemui mati di rumahnya dengan kesan kecederaan di kepala akibat hentakan objek keras pada 22 Jan lalu.
Mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam, ditemui terbaring di atas tilam oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya pada jam 8.30 pagi.
Polis Port Dickson semalam mengedarkan gambar seorang lelaki yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis di Johor Bahru yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kes itu, bagi memohon bantuan orang ramai mengesannya.