Kes bunuh Jong Nam perlu diselesaikan secara diplomatik - Hishammuddin

Bernama
Februari 25, 2017 07:00 MYT
Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan passport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada hari yang sama. - Gambar fail
Kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un, perlu diselesaikan secara diplomatik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Kenyataan yang dibuat Duta Besar Korea Utara (Kang Chol) memang biadab. Mungkin terpaksa (berbuat demikian) kerana takut tindak balas kepimpinan Korea Utara. Sebab itu, ayat-ayat mereka gunakan cukup tidak diplomatik.
"...saluran diplomasi mesti diteruskan (dalam menyelesaikan isu ini)," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Siri 181-2/16 di sini, Sabtu.
Hishammuddin juga berkata beliau yakin dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan kes itu.
"Saya sebagai Naib Presiden UMNO bersama-sama kepimpinan Barisan Nasional, kita tahu jenayah ini berlaku di bumi kita, kita ada proses perundangan kita dan saya yakin PDRM mampu buat siasatan," katanya.
Sebelum ini, Kang Chol mendakwa kononnya Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dan bersekongkol dengan 'kuasa-kuasa seterunya' dalam penyiasatan kes berkenaan dan kerajaan Malaysia menolak dakwaan tidak berasas duta itu.
Pada 13 Feb lepas, Jong-nam yang sedang menanti penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) telah dihampiri dua wanita yang didakwa menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai disembur bahan beracun.
Jong Nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada hari yang sama.
Di Kota Bharu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata rakyat Malaysia perlu menyokong penuh sebarang tindakan kerajaan terhadap hubungan diplomatik dengan Korea Utara.
Beliau berkata ini berikutan tindakan Kang Chol yang terus mengkritik kerajaan Malaysia dan siasatan pembunuhan Jong Nam.
"Kita rasa terhina apabila mendengar komen duta yang mempertikaikan kewibawaan negara kita, mempertikaikan institusi kita seperti polis, doktor dan negara kita. Ini mencampuri urusan negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Kelantan di sini, hari ini.
Mustapa berkata sebagai duta asing, Kang Chol tidak wajar melemparkan pelbagai tuduhan kepada Malaysia dan perbuatan itu menghina rakyat negara ini.
"Kita ada institusi yang cukup berwibawa, mereka ini adalah golongan profesional," katanya sambil memberitahu hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Korea Utara dijalankan seperti biasa. - BERNAMA
#Barisan Nasional #Hishammuddin Hussein #Kang Chol #kim jong nam #PDRM
;