Kes bunuh dan tanam: Lima lagi termasuk dalang utama ditahan
Umavathi Ramayah
Disember 25, 2023 16:23 MYT
Disember 25, 2023 16:23 MYT
GOMBAK : Polis menahan lima lagi individu termasuk dipercayai dalang utama yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan ditanam dalam belukar belakang sebuah kawasan kediaman dekat Sungai Choh di Rawang, Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohd Nasir berkata, dengan penahanan itu ia menjadikan kesemuanya lapan suspek yang ditahan setakat ini berhubung kes itu.
Beliau memberitahu, dalam serbuan pertama, polis menahan tiga inidvidu termasuk dua perempuan di Apartment Desa Aman Puri, Kepong kira-kira pukul 4.40 petang, pada Ahad.
"Susulan daripada penahanan itu, polis menahan dua lagi lelaki masing-masing di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Bandar Puncak Alam dan Sungai Choh antara pukul 6.15 petang dan 11 malam, pada hari sama," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Noor Ariffin menambah kesemua lima suspek yang berusia 19 hingga 45 tahun itu ditahan reman tujuh hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dijalankan.
Beliau turut menegaskan siasatan awal mendapati, teman wanita mangsa tidak terlibat dalam kejadian itu.
Justeru katanya, penahanan itu tidak melibatkan wanita itu.
Menurutnya, mangsa adalah rakan kepada salah seorang suspek wanita yang ditahan di Apartment Desa Aman Puri, Kepong.
Mengulas lanjut Noor Ariffin memberitahu, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di kepala dan badan mangsa.
"Namun kita masih lagi menunggu ujian makmal untuk mengesahkan punca kematian," jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita ketika berada di rumahnya mendakwa terdengar bunyi pergaduhan di rumah yang dipercayai mangsa dibunuh kira-kira pukul 11 pagi, Sabtu.
Kira-kira pukul 5 petang hari sama, wanita tersebut terdengar perbualan antara suami dan abang iparnya yang meminta bantuan untuk menanam satu mayat.
Dia kemudian melaporkan perkara itu kepada polis yang membawa kepada penahanan tiga individu termasuk suami pengadu.