Kes bunuh CEO Cradle Fund: 'Saya putuskan hubungan dengan Samirah' - Abang ipar

Fareez Azman
Disember 24, 2019 14:23 MYT
Dr Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa dia membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Samirah dan dua remaja lelaki yang didakwa bertanggungjawab dalam pembunuhan Nazrin. - Foto Astro AWANI
Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu abang kepada Allahyarham Nazrin Hassan telah membuat keputusan memutuskan perhubungan dengan isteri mangsa, Samirah Muzaffar sejurus selepas kes kematian adiknya diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Saksi pendakwaan ke-18, Dr Abdul Aziz Hassan, 59 tahun, mengesahkan kepada mahkamah bahawa beliau telah bertindak memutuskan hubungan dengan Samirah serta dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun pada Ogos lalu selepas kes berkenaan dikategori sebagai kes bunuh.
“Bila saya dimaklumkan bomba bahawa ada foul play dan siasatan bunuh dibuka. Tindakan saya memutuskan perhubungan dengan Samirah.
“Saya putuskan segala perhubungan dengan Samirah, saya block nombor dia dan WhatsApp. Saya biarkan polis dan bomba buat siasatan, itu reaksi saya,” katanya ketika menjawab pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanifah di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini.
DPP: Bila Dr mendapat tahu foul play, kenapa putuskan hubungan dengan Samirah?
Dr Aziz: Saya merasakan bahawa orang yang disyaki ialah orang di dalam rumah -- hanya Samirah, dua anaknya dan pembantu rumah.
Dr Aziz: Pada saya orang yang menjadi suspek utama Samirah dan anak-anaknya. Saya tidak mahu ada kaitan dengan suspek pembunuhan adik saya sejak itu saya tidak menghubungi dia.
Ketika ditanya, bagaimana reaksi dan perbualan diantara beliau dan Samirah apabila bertemu di rumah mangsa pada 14 Jun, 2018.
Aziz memberitahu Samirah kelihatan sedih tetapi tidak menangis atau meraung.
Aziz: Pada ketika sejurus sampai kira kira jam 2.45 petang 14 Jun, 2018, perbualan saya dan Samirah di dapur.
DPP: Bagaimana reaksi Samirah?
Aziz: Pada saya, dia tidak menunjukkan emosinya, tetapi mukanya sedih sebagaimana kematian suami. Pada saya, dia nampak sedih, tidak meraung tidak menangis tapi sedih.
Aziz: Saya bertanya Samirah, is it true is he’s (Nazrin) gone (meninggal dunia)? Itu pertanyaan pertama kali berjumpa dia di bahagian dapur, dia menjawab it's true he’s (Nazrin) gone.
Aziz: Soalan kedua saya bertanya, how did it happen? Dia mengatakan kemungkinan kebakaran disebabkan oleh telefon meletup.” Katanya.
Ujarnya lagi, pada awalnya tiada sebab beliau memikirkan sebaliknya dan menerima dengan hati terbuka jika benar kebakaran berpunca telefon meletup.
Mahkamah menangguhkan prosiding dan akan bersambung semula petang ini.
Pada 15 Jun, 2018, media melaporkan kebakaran di bilik tidur Nazrin sehingga mengorbankan nyawanya disebabkan letupan satu telefon bimbit sama ada jenis Blackberry atau Huawei yang sedang dicas berhampiran katil mangsa.
Bagaimanapun, pada 3 Ogos, 2018, polis mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bomba serta laporan bedah siasat.
Pada 12 Mac lepas, Samirah yang juga bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) , dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, bertanggungjawab dalam kematian Nazrin.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun, 2018.
Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
#cradle fund #kebakaran #letupan #mahkamah #mangsa #mati #Mutiara Damansara #Mutiara Homes #Nazrin Hassan #remaja #samirah muzaffar #siasatan #suspek
;