Kes bunuh anggota TLDM: Kertas siasatan ke Jabatan Peguam Negara

Nazialita Geynna Maharan
Oktober 6, 2017 13:41 MYT
Mohamad Fuzi berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada 35 saksi, termasuk lapan tahanan yang ditahan dalam tempoh kejadian, bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota TLDM serta kecederaan dua lagi anggota pasukan itu. - Gambar fail
Kertas siasatan kes kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan pada 29 Sept lalu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Keputusan kes tersebut hanya akan dimaklumkan setelah ia dibuat jabatan berkenaan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
"Pihak polis telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak TLDM untuk pihak polis melengkapkan siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat 5 Oktober, pihak polis telah membuka dua kertas siasatan iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, siasatan mendapati, dalam tempoh kejadian terdapat 10 orang tahanan dan dua daripadanya telah meninggal dunia.
"Dari baki lapan tahanan, hanya dua tampil membuat laporan polis kerana didera dan dicederakan.
"Dalam tempoh kejadian, 10 anggota TLDM yang menjadi tahanan ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972, Kaedah-kaedah Acara-Acara Angkatan Tentera (Penjaraan Dan Tahanan) 1976 dan Perintah Majlis Angkatan Tentera Bil 4 Tahun 1982," kata Mohamad Fuzi.
Tambahnya, sehingga 4 Oktober, polis telah menahan seramai tujuh anggota TLDM bagi membantu siasatan melibatkan kematian dua anggota TLDM itu.
Jelas beliau, kesemua yang ditahan bagi membantu siasatan berusia di antara 29 dan 37 tahun, melibatkan pelbagai seksyen di bawah Kanun Keseksaan.
Semalam, beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada 35 saksi, termasuk lapan tahanan yang ditahan dalam tempoh kejadian, bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota TLDM serta kecederaan dua lagi anggota pasukan itu.
Pada masa sama, sebanyak 57 barang kes telah dirampas dan telah dihantar ke Jabatan Kimia.
"Laporan Forensik CSI, CPU dan CCTV, perubatan dan kimia, semuanya masih dalam tindakan dan sedang diproses oleh para pakar," kata Mohamad Fuzi.
Pihak polis telah membuat permohonan untuk mendapatkan laporan saintifik itu, tambahnya.
#bilik tahanan #bunuh #dera #lumut #meninggal dunia #Mohamad Fuzi Harun #polis #Sitiawan #TLDM
;