Kes bunuh Altantuya: Surat akuan bersumpah Azilah cukup untuk polis buka siasatan

Firdaus Azil
Disember 16, 2019 18:33 MYT
RAMKARPAL: Undang-undang sedia ada benarkan surat akuan bersumpah Azilah jadi asas siasatan polis yang baharu. - Gambar fail
Surat akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Cif Inspektor Azilah Hadri berhubung dakwaan pembabitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu sudah cukup untuk membolehkan pihak polis membuka semula kertas siasatan, kata peguam Ramkarpal Singh.
Peguam kepada keluarga Altantuya itu berkata, tidak perlu dibuat laporan polis baharu, kerana undang-undang membenarkan SD itu menjadi asas siasatan.
“Keterangan baharu oleh Azilah, serta individu yang beliau dakwa terbabit, perlu direkodkan segera. Saya juga mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk mengarahkan siasatan dengan segera memandangkan tahap serius dakwaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
BACA: Kes bunuh Altantuya: Teks penuh akuan bersumpah Azilah Hadri
Terdahulu, Azilah melalui SD itu mendakwa, beliau mendapat arahan secara terus dari Najib, ketika waktu kejadian merupakan Timbalan Perdana Menteri, untuk membunuh dan menghapuskan mayat Altantuya.
Susulan dakwaan itu, Najib berkata, proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi hingga ke Mahkamah Persekutuan tidak mensabitkan beliau dalam jenayah itu.
BACA: Arah Azilah bunuh Altantuya, ini reaksi Najib Razak
Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, keluarga Altantuya, sejak bertahun lamanya mendesak agar siasatan lebih terperinci dilakukan.
Susulan penerbitan SD itu, beliau berkata, pihaknya akan memohon untuk membuat semakan semula terhadap penghakiman Mahkamah Persekutuan.
Selain itu, Ramkarpal berkata, beliau juga akan meminda saman sivil oleh keluarga Altantuya, yang ketika ini sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, bagi memasukkan isi kandungan SD tersebut.
#Abdul Hamid Bador #akuan bersumpah #Altantuya Shaariibuu #Azilah Hadri #Ketua Polis Negara #Mahkamah Persekutuan #Mahkamah Tinggi Shah Alam #Najib Razak #Pembunuhan #Ramkarpal Singh #saman sivil
;