Kes buli viral: Tiga senior ditahan, berpunca daripada gurauan untuk belanja ayam goreng

Muhafandi Muhamad
September 9, 2020 18:56 MYT
Video berdurasi 26 saat itu antara lain memaparkan dua suspek memukul mangsa di beberapa bahagian badan. -Ihsan pembaca
Tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Tanah Merah, Kelantan ditahan bagi membantu siasatan susulan penularan satu rakaman video seorang penghuni asrama dibelasah pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafein Mamat, siasatan awal mendapati, mangsa dibelasah oleh tiga suspek yang juga pelajar senior dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
"PDRM Kelantan mengesahkan telah menerima satu laporan polis oleh mangsa berkaitan perkara tersebut.
"Ketiga-tiga suspek dikatakan memukul mangsa kerana berang dengan gurauan mangsa untuk belanja ayam goreng dari sebuah restoran makanan segera.
"Mereka dikatakan marah kerana menganggap mangsa cuba mempermainkan mereka," jelasnya di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.
Video berdurasi 26 saat itu antara lain memaparkan dua suspek memukul mangsa di beberapa bahagian badan.
Mangsa yang dalam kesakitan turut disepak kaki kanannya oleh salah seorang suspek sebelum terjatuh.
#Ayam Goreng #Balai Polis Tanah Merah #buli #Ketua Polis Negeri Kelantan #lelaki #mangsa #PDRM #Polis Diraja Malaysia #Sekolah Menengah #suspek #Tanah Merah
;