Kes buli: 'Ramai asyik tanya bila nak ambil tindakan' - Fadhlina jamin siasatan telus
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 27, 2023 15:31 MYT
Mei 27, 2023 15:31 MYT
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan telus berhubung isu buli dan beberapa isu berkaitan gejala sosial pelajar yang lain bagi memberi keadilan kepada semua pihak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata semua pihak perlu menghormati proses siasatan yang dijalankan KPM selain bersabar menunggu tindakan lanjut yang akan diambil kelak.
Beliau mengakui kebimbangan semua pihak susulan kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah akhir-akhir ini namun percaya masalah tersebut dapat diatasi dengan penggunaan saluran yang tepat.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memanfaatkan saluran aduan rasmi KPM bagi membolehkan setiap laporan yang diterima dapat disiasat secara adil dan saksama.
"Kita tidak berkompromi dalam isu buli ini, sebab itu saya sebut berulang kali saya mahu aduan di peringkat KPM dilaksanakan dengan rasmi , kita ada ADUBULI... kemudian proses dari segi siasatan ini harus telus.
"Negara ada hukum (undang-undang)... kita ada proses siasatan dan mesti sabar dengan proses siasatan ini.
"Ramai yang asyik tanya bila nak selesai... bila nak selesai... bila nak ambil tindakan, prosesnya harus kita hormat, semua pihak harus memberikan laporan... berikan siasatan yang adil dan kemudian hukuman ini bergantung kepada severity (tahap serius) tahap mana kes buli itu," katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata beliau percaya isu tersebut dapat ditangani dengan bantuan semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat dan seluruh pemegang taruh sektor pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu buli dan masalah sosial melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Nibong Tebal itu merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, Nibong Tebal pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan beberapa kejadian buli dan pukul membabitkan pelajar sekolah menengah di Butterworth dan Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM) di Balik Pulau Pinang sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.