Kes buli pelatih TUDM, lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan
Sinar Harian
Mei 9, 2023 11:40 MYT
Mei 9, 2023 11:40 MYT
KUANTAN: Lebih 10 individu dipanggil memberi keterangan bagi tujuan siasatan berhubung kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, selain mangsa pihaknya juga telah memanggil dan mengambil keterangan enam suspek yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih tersebut.
Menurutnya, siasatan berhubung kes tersebut masih berjalan termasuk memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia bagi membantu siasatan.
"Siasatan dijangka tidak mengambil masa yang lama dan diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"Setakat ini, semua enam suspek yang didakwa terlibat belum ditahan sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan.
"Siasatan akan dilakukan melibatkan pelbagai aspek dan jika didapati berlaku elemen jenayah tindakan selanjutnya akan diambil bergantung kepada hasil siasatan termasuk untuk pendakwaan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perhimpunan khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.
Kejadian terbongkar selepas keluarga salah seorang mangsa tampil membuat laporan polis sebelum ditularkan di Twitter. -Sinar Harian
#buli pelatih TUDM
#Ramli Mohamed Yoosuf
#Pangkalan Udara Kuantan
#lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan