Kes buli pegawai kadet, PDRM sedia siasat jika ada laporan polis - KPN

Astro Awani
November 1, 2024 07:30 MYT
Razarudin berkata, PDRM sedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan dibuat. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menjalankan siasatan berhubung kes buli yang dilaporkan berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sungai Besi membabitkan seorang pegawai kadet tahun kedua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan setakat ini belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu termasuk mangsa.
Memetik laporan tempatan, setakat ini PDRM tidak menerima sebarang laporan polis dan seperti kenyataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), siasatan dijalankan secara dalaman.
Namun jelasnya, PDRM sedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan dibuat.
Pada Khamis, ATM dalam satu kenyataan memaklumkan yang pihaknya sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di ALK, UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.
Menurut ATM, yang mengesahkan kejadian itu, ia membabitkan pelajar kadet yang dibuli seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, pada Jumaat menjelaskan bahawa kes buli berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan dan siasatan sedang dijalankan oleh kementerian terbabit.
#kes buli #PDRM #UPNM #ALK
;