Kes buli masih wujud kerana ibu bapa, guru tidak 'garang' seperti dahulu - Pakar kriminologi
Ridauddin Daud
Mac 22, 2023 16:19 MYT
Mac 22, 2023 16:19 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Portal Aduan Buli pada 18 Ogos tahun lepas.
Ia membolehkan ibu bapa dan mangsa buli membuat laporan secara terus kepada kementerian dengan maklumat pengadu dirahsiakan.
Namun adakah usaha ini mencukupi? Bentuk hukuman juga sudah ada, namun mengapa kes buli masih berlaku di sekolah?
Pakar kriminologi berpendapat kes tersebut masih berlaku kerana sistem pendidikan itu sendiri dan guru serta ibu bapa kini tidak lagi begitu garang seperti dahulu.
“Dulu, guru dan ibu bapa sangat garang. Ada pemantauan di rumah dan di sekolah, tapi sekarang ini ada kelonggaran dari ibu bapa dan guru.
“Guru tak boleh rotan, ada juga prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengawal pelajar di sekolah,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, punca utama buli masih berlaku adalah kerana pemangsa mahu kelihatan hebat, kuat, dan gagah.
Hakikatnya, angkara buli, ada mangsa yang takut berhadapan dunia luar, kurang keyakinan diri, tidak gemar bersosial yang akhirnya menjejaskan kehidupan dan kerjaya mereka.
Seperti wanita berusia 27 tahun ini yang bernama Amelia. Dia kelihatan sangat cerita ketika ditemui, malah tidak ketara langsung wanita cekal ini sebenarnya memendam rasa.
Dari awal membuka kata, Amelia acap kali berkata kesnya tidaklah begitu teruk, namun di sebalik kata-kata itu, dia sebenarnya masih terkesan dengan apa yang berlaku.
Setelah sekian lama berlalu, Amelia cekal menempuh segalanya, menamatkan persekolahan sebaiknya di sebalik tekanan demi tekanan yang dihadapi.
Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari; disangka tidak akan lagi berdepan insiden buli, namun sekali lagi Amelia diuji.
Kali ini ketika dia menyambung pengajian di universiti. Amelia menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki yang kerap mengganggunya.
Laporan polis sudah dibuat, namun ia tetap meninggalkan kesan kepada kesihatan mental wanita ini, apatah lagi dia juga menjadi mangsa buli siber akibat insiden itu.
“Mula-mula tu sampai kena pergi psikiatri untuk nak kawal balik semua ini.
“Masa itu, saya boleh mengaku keadaan mental saya bukan dalam keadaan baik masa insiden itu terjadi.
“Saya menghilang sekejap, pergi cari cara untuk sembuh,” katanya.
Sebulan Amelia berperang dengan emosi, berlawan dengan perasaan sebelum dia akhirnya sembuh dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Lupa insiden itu? Tidak sama sekali, namun sekurang-kurangnya ia tidak lagi membebankan dan menyusutkan fikirannya seperti ketika di awal insiden itu.
Ini pula kisah Puteri Norainaa Balqis, pengasas Save The School (STS) yang kini aktif membuktikan bahawa kes buli di sekolah bukanlah isu terpencil yang boleh dipandang sepi.
Tidak sampai setahun menggerakkan inisiatif itu, hampir 1,200 pengakuan diperoleh dan dari semua data tersebut, ia dikumpulkan menjadi data rasmi dengan kerjasama dengan All Women's Action Society (AWAM).
Angka-angka dalam laporan itu, menurutnya, perlu diberi perhatian serius, membuktikan bahawa buli bukanlah kes terpencil yang hanya berlaku di beberapa sekolah.
“Bila ada yang buat kenyataan dalam media, bertanyakan mana data, yang kata buli ini adalah kes terpencil, kita kata datang kepada kami, kami ada data.
“Kita boleh tunjuk perkara ini berlaku di sekolah jenis apa, siapakah pemangsanya.
"Tapi itulah, mungkin platform ini tak cukup besar dan saya faham KPM pun dah mula mengorak langkah untuk selesaikan benda ini.
“Ia adalah langkah kecil dan kalau langkah kecil itu ke depan, ia adalah perkara yang baik dan kita harus raikan,” katanya.
Tegasnya, buli bukan isu biasa kerana ia memberi kesan psikologi kepada mangsa, mempengaruhi cari mereka berfikir, dan menjejaskan keyakinan diri.
Itu dari jangka masa panjang. Namun untuk jangka masa pendek, ada mangsa yang tidak mahu ke sekolah kerana tidak tahan dibuli.
Namun, dia percaya dengan iltizam dan perancangan rapi, isu buli dapat dinoktahkan dan tidak lagi membelenggu sekolah.