Kes bendera Indonesia terbalik bukan disengajakan - TPM

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 20, 2017 13:47 MYT
Ahmad Zahid menyampaikan amanatnya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Teluk Intan di Dewan Perbandaran Teluk Intan hari ini. -- fotoBERNAMA
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan insiden bendera negara Indonesia yang dipaparkan secara terbalik di buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah tidak disengajakan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, isu membabitkan negara jiran itu terjadi tanpa sebarang niat buruk.
"Kita harus berfikiran terbuka, ianya tidak disengajakan," katanya, yang juga Naib Presiden UMNO, kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Teluk Intan di Dewan Bandaran Teluk Intan, di sini hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memohon maaf atas insiden itu dan menyatakan akan membuat kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Imam Nahrawi, hari ini.
Mengulas upacara perasmian KL2017 di Stadium Bukit Jalil malam tadi, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, ia merupakan satu penanda aras bagi kejayaan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.
Katanya, Malaysia telah berjaya melakukan permulaan cukup baik dari segi pencapaian pingat atlet pada Sukan SEA kali ini dan mengharapkan majlis penutup pada penghujung bulan Ogos akan mencatatkan kegemilangan yang sama, termasuk dari segi pungutan pingat.
"Kita harap, bila menjadi tuan rumah, kita akan dapat memberhasilkan jumlah pingat emas yang kita sasarkan iaitu 111.
"Marilah kita ketepikan perbezaan kaum di antara kita, apatah lagi perbezaan politik. Kita bangkit bersama menyokong pencapaian atlet kita.
"Semoga pelbagai sukan yang dipertandingkan kali ini akan digarap dengan semangat kesukanan yang tinggi," tambahnya.
#Ahmad Zahid Hamidi #bendera #Bukit Jalil #Indonesia #Khairy Jamaluddin #KL2017 #Sukan SEA #Teluk Intan
;