Kes Bella: Saya tidak dapat keluar kenyataan atas dasar perundangan - Ras Adiba
Nickyson Nyambar
April 9, 2022 19:30 MYT
April 9, 2022 19:30 MYT
KUALA LUMPUR : Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi menegaskan bahawa beliau menerima nasihat dari segi perundangan untuk tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan kes penganiayaan dan pengabaian melibatkan seorang remaja sindrom down berusia 13 tahun bernama Bella.
Jelasnya, terdapat pihak yang membuat kenyataan tidak adil yang mengatakan beliau tidak mengambil peduli dan tidak hadir ke mahkamah berhubung kes yang sedang berjalan itu.
"Saya tidak pasti sama ada mereka yang membuat kenyataan tersebut sedar atau tidak yang terdapatnya langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan kehadiran pihak-pihak tidak berkaitan.
"Namun demikian, perlu diketahui bahawa pintu saya sentiasa terbuka kepada semua komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) (dan juga kepada mereka yang aktif memperjuangkan hak-hak OKU).
"Saya di sini berkhidmat demi kepentingan OKU dan akan membawa isu-isu yang akan menambah baik hak OKU.
"Perlu diketahui bahawa saya juga sedang meneliti banyak kes OKU lain, namun dalam kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, seperti kes Bella, saya secara amnya tidak boleh mengeluarkan kenyataan," katanya pada Sabtu.
Jelasnya lagi, individu yang sama itu turut membuat kenyataan tidak benar apabila mendakwa Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengawal media agar tidak dilaporkan di media massa.
"Bernama adalah sebuah agensi berita nasional. Kami melaporkan berita sebaik yang boleh. Tetapi kami tidak ada kawalan ke atas media-media yang lain.
"Ini adalah masa yang sukar untuk kesemua yang terlibat, dan kebimbangan saya tentu sekali adalah, bagaimana untuk melindungi anggota masyarakat OKU kita.
"Imej-imej yang kita lihat bagaimana Bella diperlakukan amat menyedihkan dan seperti semua dan komuniti OKU juga, mahukan jawapan dan keadilan ditegakkan.
"Saya percaya kepada proses undang-undang Malaysia, dan selagi kes ini masih dibicarakan, saya tidak akan membuat komen secara spesifik berkaitan kes tersebut," tegasnya menerusi kenyataan sama.