Kes Bella: Prosiding bela diri Siti Bainun esok ditangguh lagi
Bernama
Januari 4, 2023 15:38 MYT
Januari 4, 2023 15:38 MYT
KUALA LUMPUR: Prosiding membela diri pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella ditangguhkan lagi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan sementara itu selepas peguam Siti Bainun, P.G. Cyril memohon supaya perbicaraan bela diri anak guamnya di Mahkamah Sesyen pada 5 dan 6 Jan ditangguhkan sehingga bantahan awal pendakwaan diputuskan oleh mahkamah pada 13 Jan.
Hari ini ditetapkan untuk pendengaran bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun supaya dua pertuduhan dihadapinya disemak semula oleh mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Azizah Mohamad bagaimanapun membantah penangguhan sementara prosiding bela diri itu.
Dalam notis usul yang difailkan pada 30 Nov, tahun lepas dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden, Siti Bainun memohon untuk menyemak dua pertuduhan tersebut apabila Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi tidak mempertimbangkan isu berkenaan pertuduhan-pertuduhan itu yang didakwa defektif (cacat) dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.
Siti Bainun memohon perintah Hakim Mahkamah Sesyen itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 Nov tahun lepas adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan-pertuduhan di dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan (24 Nov).
Sementara itu, di hadapan Izralizam, TPR Fazeedah Faik memohon 13 Jan ditetapkan untuk sebutan bagi memaklumkan mahkamah berhubung keputusan permohonan bantahan awal tersebut.
Izralizam kemudian menetapkan 13 Jan untuk sebutan kes.
"Saya tiada pilihan selain melapangkan tarikh bicara bela diri esok (5 Jan) dan 6 Jan ini selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi hari ini sehingga keputusan bantahan awal pada 13 Jan," kata hakim itu.
Pada 5 Dis lepas, Izralizam membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding bela diri Siti Bainun, yang sepatutnya bermula pada tarikh sama (5 Dis) kerana wanita itu dimasukkan ke wad akibat radang paru-paru manakala pada 7 Dis, prosiding bela diri ditangguhkan sekali lagi apabila Siti Bainun diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari bermula 28 Nov lepas kerana masalah kesihatan.
Pada 24 Nov lepas, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Siti Bainun Ahd Razali
#rumah bonda
#penangguhan prosiding bela diri
#Seksyen 31 1 a Akta Kanak-Kanak 2001