Kes Bella: Nurul Hidayah akui pernah rapat, namun nafi keluarga lindungi Siti Bainun
Astro Awani
April 19, 2022 18:37 MYT
April 19, 2022 18:37 MYT
KUALA LUMPUR: Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah menafikan dakwaan keluarganya melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang sedang berhadapan pertuduhan mendera remaja sindrom Down, Bella.
Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Nurul Hidayah mengakui mengenali Siti Bainun dan rapat sebelum ini, namun mereka sekeluarga tidak melindunginya.
“Sebagai anak saya wajib mempertahankan maruah keluarga saya dari terus tercalar. Kami sekeluarga tiada kena mengena dengan orang kena tuduh (OKT) atau dengan pemahaman lain, kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT.
“Sebagai seorang yang pernah rapat saya merasakan dikhianati kerana selama ini OKT yang saya anggap sebagai insan yang suka membantu orang lain sebenarnya mempunyai satu lagi personaliti yang tidak terbayang dek akal saya,” tulisnya pada Selasa.
Sebelum ini tular foto Nurul Hidayah bersama Siti Bainun sehingga ada yang membuat spekulasi bahawa wanita itu adalah anak angkat kepada Ahmad Zahid.
Nurul Hidayah turut memuat naik tangkapan layar perbualan melalui WhatsApp antara dia dengan Siti Bainun.
“Jika ada cerita yang menyatakan sebaliknya, bukan kami yang melindungi OKT, mungkin ia adalah salah satu cara seseorang itu memberitahu yang dia adalah seorang yang 'kebal'.
“Tiada yang kebal dan kuat jika bersandarkan kepada manusia, kecuali ALLAH yang Maha Mengetahui dan Maha Melindungi.
“Saya tidak berhajat untuk menulis lebih panjang kerana sebagai manusia, hati saya tidak mampu menahan emosi melihat orang yang pernah rapat dengan kita suatu ketika dahulu didakwa atas tuduhan mendera,” katanya.