Kes Bella: Mahkamah benarkan empat peguam lantikan TMJ ikuti prosiding kes
Fareez Azman
April 20, 2022 14:40 MYT
April 20, 2022 14:40 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan empat peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertindak sebagai peguam pemerhati dalam kes penderaan mangsa sindrom down dikenali sebagai Bella.
Keputusan dibuat Hakim Izralizam Sanusi selepas barisan peguam itu yang diwakili Datuk Khairul Anwar Rahmat memaklumkan bahawa mereka telah dilantik menjadi peguam pemerhati bagi pihak Bella.
Menurut Khairul Anwar, mereka memohon untuk hadir mengikuti perbicaraan kes penderaan Bella dengan persetujuan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Ia susulan pertemuan Tunku Mahkota Johor bersama Rina yang berlangsung pada Rabu.
"Kami juga akan memohon untuk hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) bagi pihak anakanda Bella selain memohon mendapatkan transkrip rakaman mahkamah (CRT) untuk meneliti perbicaraan sebelum ini," jelasnya.
Sementara itu, Khairul Anwar dalam kenyataan pada Rabu turut menzahirkan rasa syukur selepas mahkamah membenarkan permohonan untuk menjadi peguam pemerhati bagi pihak Bella.
"Pihak kami juga mempertimbangkan untuk terlibat dengan lebih aktif dalam prosiding ini dengan membuat permohonan sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) sebaik kami menerima dokumentasi lengkap dan rekod perjalanan kes sebelum ini.
"Ia penting bagi kami untuk membantu pihak mahkamah dan pendakwa raya dalam mencapai keadilan buat anakanda Bella," kata peguam itu.
Selain Khairul Anwar, tiga lagi peguam pemerhati iaitu Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.
Sementara itu, Hakim Izralizam berkata, beliau akan mempertimbangkan permohonan empat peguam pemerhati berkenaan untuk mendapatkan CRT.
Pada Selasa, Tunku Ismail berkenan memberi tiga cadangan kepada kerajaan dalam memastikan kejadian kes penderaan seperti dilalui Bella tidak lagi berulang.
Cadangan berkenaan dikemukakan dalam pertemuan bersama Rina di Royal Johor Polo Club di Johor Bahru pada Selasa.
Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.
Susulan itu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Turut hadir pada prosiding pada Rabu itu, Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara.