Kes Bella: Bedah siasat rangka selesai, sampel patologi dianalisis
Sinar Harian
Januari 20, 2024 18:45 MYT
Januari 20, 2024 18:45 MYT
BATU PAHAT: Bedah siasat ke atas rangka manusia tidak sempurna yang ditemukan di sebuah rumah terbengkalai di Jalan Imam Jailani Kampung Batu 7, Tongkang Pecah di sini sudah dijalankan pada pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, bedah siasat ke atas rangka tersebut sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
"Sampel patologi dari Jabatan Forensik HSI Johor Bahru telah dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi membuat perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengenal pasti identiti si mati," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, polis menahan reman tiga individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Tiga mereka berusia 24 hingga 39 tahun itu direman selama seminggu sehingga 27 Januari ini.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini tiga suspek lelaki berusia 24 hingga 39 tahun ditahan berhubung kehilangan Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, 32. - Sinar Harian