Kes Batu Puteh: Dua kali hantar surat, tetapi tidak dibalas - Tun M
Abd Hadi Che Awang
Jun 30, 2022 08:40 MYT
Jun 30, 2022 08:40 MYT
LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan bahawa beliau tidak membangkitkan isu berkaitan kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan lebih awal.
Menurut bekas perdana menteri itu, pihaknya telah dua kali menghantar surat kepada pihak yang terlibat berhubung kedudukan Mohamed Apandi namun kesemuanya tidak dibalas.
Beliau menjelaskan, bekas peguam negara itu tidak wajar dilantik ke kedudukan itu memandangkan ia akan melibatkan konflik kepentingan.
Sebaliknya, kata beliau, Mohamed Apandi lebih sesuai menjadi salah seorang saksi.
"(Sebenarnya) saya sudah beritahu, tulis surat (kepada mereka), (tetapi mereka) taknak jawab. Dua surat kita hantar tidak berjawab.
"Itu pun saya pergi (ke Jabatan Peguam Negara), mungkin pada saat akhir dia nak jawab (berhubung pelantikan Mohamed Apandi), saya pergi sampai ke pejabat.
"Kalau pada masa itu, dia beritahu, Mohamed Apandi tak jadi pengerusi, saya sedia (ditemubual dan beri kerjasama).
"Hari ini pun, kalau orang (yang) tidak ada konflik kepentingan dilantik, saya sedia bagi maklumat. Apa-apa pun boleh tanya (saya).
"Kita boleh tunjuk (bukti berkenaan) surat yang kita (hantar) tetapi mereka tidak jawab. Macam mana (akhir sekali) boleh kata salah saya (sebab lambat)?" soal beliau.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas pertemuan bersama pengusaha-pengusaha feri Langkawi di sebuah hotel di Kuah, di sini, semalam.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara berkaitan kedudukan Mohamed Apandi sebagai Pengerusi PPK seharusnya dibangkitkan lebih awal sebelum pelantikan dibuat kerajaan.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menyingkirkan Mohamed Apandi tanpa sebarang justifikasi.
Tambahnya, adalah mustahil untuk dirinya bertindak sewenang-wenangnya mengeluarkan Mohamed Apandi sebagai Pengerusi apabila Jemaah Menteri yang membuat keputusan berkaitan pelantikan berkenaan.
Pada Selasa, Dr Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan sesi temu bual saksi bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara susulan isu pelantikan Mohamed Apandi.