Kes basikal lajak: Sam Ke Ting percaya kebebasan perlu dibayar dengan harga mahal

Hasimi Muhamad
April 18, 2022 12:22 MYT
Peguam Sam Ke Ting, Muhammad Faizal Mohktar berkata, anak guamnya itu menyedari ramai pihak yang sedang berdebat berhubung kes yang dihadapinya. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kerani wanita, Sam Ke Ting memohon agar orang ramai tidak mempertikaikan sistem undang-undang dan kehakiman negara.
Menurut peguamnya, Muhammad Faizal Mohktar, anak guamnya itu menyedari ramai pihak yang sedang berdebat berhubung kes yang dihadapinya.
“Bagi Sam, dia percaya kepada kedaulatan undang-undang dan dia akur dengan sebarang keputusan mahkamah.
“Dia melahirkan rasa kecewa apabila pihak menyalahkan sistem kehakiman. Apabila dia menang, sistem kehakiman (dikatakan) rosak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Istana Kehakiman, di sini pada Isnin.
Sebelum itu, Mahkamah Rayuan membebaskan Sam, 27, yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu.
BACA: Kes basikal lajak: Sam Ke Ting dibebaskan dengan jaminan
Kes Basikal Lajak | Sam Ke Ting percaya kedaulatan undang-undang
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga sebulat suara membenarkan permohonan Sam untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mengulas lanjut, Muhammad Faizal berkata Sam turut menafikan bahawa kes yang dihadapinya ketika ini adalah bersifat isu perkauman.
Sebaliknya, beliau berkata anak guamnya itu menegaskan ia adalah kes sejagat.
“Mungkin orang awam boleh memandang kes ini dari dua isu sejagat yang sama-sama penting, dan jangan pandang kepada isu yang kolot.
“Isu yang Sam sendiri faham ialah nilai nyawa manusia. Jadi dalam kes ini dia bertembung dengan isu kebebasan (iaitu) seseorang tertuduh selagi dia tak dibuktikan bersalah.
“Jadi dua isu ini diperjuangkan, saya memperjuangkan isu kebebasan selagi dia tak dibuktikan bersalah dan dia tak boleh dipenjarakan.
“Tetapi bagi pihak pendakwaraya mereka memperjuangkan isu tentang nilai manusia,” katanya lagi.
Selain itu, Muhammad Faizal menambah Sam dalam pengakuan tidak bersumpah berkali-kali mengatakan dia bersimpati terhadap kehilangan ahli keluarga yang terlibat.
Sam juga katanya, percaya kebebasan sangat berharga dan mesti dibayar dengan harga yang mahal.
“Pada ketika ini Sam bayar (kebebasan) dengan penjara. Itu harga yang dia faham dan perlu bayar,” tambahnya.
Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru pada pukul 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
#basikal lajak #Sam Ke Ting #Mahkamah Rayuan #Muhammad Faizal Mohktar
;