Kes bapa, anak OKU mati di rumah tiada unsur jenayah - Polis

Sinar Harian
Ogos 25, 2024 18:45 MYT
Lokasi penemuan mayat dua beranak di sebuah rumah di Sungai Abong, Muar. - Gambar/ Sinar Harian
MUAR: Kes mayat bapa dan anak orang kurang upaya (OKU) yang ditemui mati di sebuah rumah di Sungai Abong di sini, pada Jumaat, tidak mempunyai unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, penemuan mayat lelaki berusia 76 dan 37 tahun itu diklasifikasikan mati mengejut.
"Bedah siasat ke atas jenazah bapa dan anak itu sudah selesai.
"Namun mayat belum boleh dituntut kerana masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik atau DNA," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut Raiz Mukhliz, seorang lagi anaknya iaitu wanita OKU berusia 44 tahun yang turut ditemui di rumah terbabit dalam keadaan lesu dan tidak bermaya, kini keadaan stabil.
"Dia masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini dan dalam proses untuk dituntut saudara terdekat," katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan penemuan mayat dua beranak di dalam sebuah rumah gelap di Sungai Abong.
Turut ditemukan seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya kelaparan selepas beberapa hari tidak keluar rumah.
Polis menerima laporan daripada orang awam memaklumkan terdapat bau busuk dari rumah jiran mereka sebelum membuat pemeriksaan. - Sinar Harian
#mayat OKU #jumpa mayat #punca kematian #SDR