Kes audit 1MDB: Najib, Arul Kanda dilepas, dibebaskan

Hasimi Muhamad
Mac 3, 2023 10:32 MYT
Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie bagi pertuduhan itu.
Najib, 70, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.
Sementara itu, Arul Kanda, 46, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu untuk mengelak dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tetapi bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun itu meninggal dunia pada 29 Januari lalu.
Ia diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Pihak pembelaan pula diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi pihak Najib, sementara Arul Kanda diwakili oleh Datuk N Sivananthan.
Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula hari pertama pembukaan perbicaraan kes pada 18 November 2019.
Pada 24 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Antara saksi utama dipanggil memberikan keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Madinah Mohamad.
#1MDB #Najib dilepas #Arul Kanda #NajibRazak
;