Kes anggota lepas tembakan, Tentera Darat tubuh pasukan inkuiri
Bernama
Oktober 14, 2021 17:47 MYT
Oktober 14, 2021 17:47 MYT
TAMPIN: Tentera Darat akan menubuhkan pasukan inkuiri bagi menambah baik prosedur operasi keselamatan dan tadbir urus dalam pasukan itu susulan kejadian anggotanya melepaskan tembakan dan membunuh diri di Kuching, Sarawak, semalam.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata penubuhan pasukan berkenaan adalah bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang dalam kalangan anggotanya.
Beliau berkata fokus ATM sekarang adalah untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga anggota yang terlibat agar balu dan anaknya mendapat bantuan sewajarnya.
"Saya mengucapkan takziah kepada kepada semua yang terlibat dan ATM menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis dalam kes ini.
"Pihak ATM tidak mahu mengeluarkan kenyataan awal mengenai kejadian berkenaan kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Latihan Kuasa Tembakan 2021 di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Askar tembak diri | Masalah rumah tangga menjadi punca askar mengamuk
Affendi berkata ATM akan mengadakan satu sidang media khas berkaitan kes berkenaan agar tidak berlaku salah faham atau tanggapan negatif daripada masyarakat.
Semalam, seorang anggota tentera maut selepas menembak dirinya di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah Jalan Matang, Kuching, Sarawak.
Mangsa dipercayai mengamuk dan melepaskan beberapa tembakan yang mencederakan ibu mentuanya.
Anggota tentera berusia 20-an itu bertugas di sebuah kem tentera di Bau.
Sementara itu, ATM akan menyegerakan pemberian dos penggalak kepada anggotanya seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Tanpa mendedahkan jumlah dos penggalak akan diberi, Affendi berkata pihaknya telah mengenal pasti anggotanya yang memerlukan dos penggalak dan kerja-kerja inokulasi golongan berkenaan akan dijalankan secepat mungkin.
"KKM menyatakan bahawa kumpulan yang mendapat keutamaan untuk vaksin dos penggalak ini adalah petugas barisan hadapan, kita akan mulakan inokulasi untuk dos penggalak ini secepat mungkin mengikut kategori ditetapkan KKM," katanya
Beliau berkata antara anggotanya yang akan menerima dos penggalak berkenaan adalah individu berisiko tinggi dan mereka yang telah menerima vaksin untuk tempoh lebih enam bulan.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan golongan warga emas dengan komorbiditi, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan penyakit dan mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang akan menerima dos penggalak vaksin COVID-19 mulai bulan ini.
Turut hadir dalam program itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
-- BERNAMA