Kes anggota komando miliki penerbitan berkaitan militan dipindah ke KL

Bernama
Januari 6, 2016 13:41 MYT
Mohd Abu Haliff didakwa memiliki sehelai kemeja-T yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daish di rumahnya di Kampung Baru, Mukim Lambor Kiri, Bota pada kira-kira 1.30 tengah hari 12 Nov lepas.
Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan kes seorang anggota komando yang didakwa memiliki sehelai kemeja-T yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daish (IS), dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Keputusan dibuat oleh Majistret Mohd Fitri Sadaruddin ke atas Mohd Abu Haliff Shah Abu Bakar, 28, yang berkhidmat di Kem Sungai Udang, Melaka.
Timbalan Pendakwaraya Muhammad Fauzi Md Yusof memaklumkan pihaknya telah memperoleh surat keizinan daripada Mahkamah Tinggi baru-baru ini untuk memindahkan kes itu.
Mohd Abu Haliff didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Baru, Mukim Lambor Kiri, Bota pada kira-kira 1.30 tengah hari 12 Nov lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, dan boleh dilucut hak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.
#daish #IS #Islamic State #kemeja T #komando #Mohd Abu Haliff Shah Abu Bakar
;