Kes Altantuya: Mahkamah tolak permohonan mencelah Najib

Fauzi Suhaimi, Umavathi Ramayah
Disember 8, 2020 11:37 MYT
Mahkamah Persekutuan memutuskan tidak membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencelah dalam prosiding semakan kehakiman bekas UTK, Azilah Hadri. - Gambar Astro AWANI / Fauzi Suhaimi
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencelah dalam prosiding semakan kehakiman bekas UTK, Azilah Hadri yang ingin mengetepikan sabitan serta hukuman mati terhadapnya atas pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Panel hakim yang terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan empat Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernom Ong Lam Kiat, Puan Seri Zaheha Yusof dan Datuk Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
Azahar ketika membacakan keputusan berkata, panel berpendapat pemohon (Najib) tidak terkesan secara langsung dengan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Azilah itu memandangkan Ahli Parlimen Pekan itu tidak disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.
Bagaimanapun katanya, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah dibenarkan untuk bertindak sebagai pemerhati dalam permohonan semakan itu.
"Panel berpendapat, Timbalan Pendakwa Raya dan Azilah sudah cukup memadai dalam prosiding permohonan semakan ini," katanya.
Azahar menjelaskan, permohonan Azilah dibuat mengikut peruntukan Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 berhubung keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2015 yang membenarkan rayuan dikemukakan untuk mengetepikan keputusan Mahakamah Tinggi Shah Alam pada 2009.
Mahkamah Tinggi memutuskan Azilah dan seorang lagi bekas pegawai UTK, Sirul Azhar Umar bersalah atas pertuduhan membunuh Altantuya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sementara Najib diwakili Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah.
Terdahulu, Muhammad Shafie memberitahu mahkamah, anak guamnya itu berhak mencelah dalam prosiding semakan kehakiman itu memandangkan nama beliau disebut dalam akuan bersumpah (SD) setebal 32 muka surat yang dikemukakan Azilah pada 5 Disember 2019.
Dalam SD itu, Azilah mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Najib yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Memandangkan tuduhan yang dilemparkan itu adalah terlalu berat dan serius, beliau berkata, ia bakal memberi kesan langsung serta menjejaskan reputasinya anak guamnya itu.
Sementara itu, Mohd Dusuki berkata, meskipun mahkamah mempunyai kuasa dan hak untuk membenarkan pencelahan namun mahkamah tidak sewenang-wenangnya membenarkan sesiapa untuk berbuat demikian dalam kes jenayah.
Mahkamah juga dimaklumkan Najib terpaksa meninggalkan mahkamah sebelum tamat prosiding bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat.
#Najib Razak #Altantuya Shaariibuu #Mahkamah Persekutuan #mahkamah #semakan kehakiman #Azahar Mohamed #Mohd Zawawi Salleh #Azilah Hadri
;