Kes Altantuya: Azilah mohon pengampunan Sultan Selangor terhadap hukuman mati

Bernama
Januari 15, 2016 14:21 MYT
Azilah Hadri (menutup muka) sewaktu diiringi anggota polis setelah Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskannya dan Sirul Azhar pada 13 Januari 2015 atas tuduhan membunuh Altantuya. - Gambar fail
Bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia, Azilah Hadri, hari ini memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh model Mongolia, Altantunya Shaariibuu.
Peguamnya Datuk Hazman Ahmad berkata pihaknya telah mengemukakan petisyen pengampunan diraja itu kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, pagi tadi.
Petisyen itu antaranya mengandungi nota keterangan kes itu, rekod rayuan dan nas perundangan, katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditanya berapa lama proses pengampunan itu, Hazman berkata ia terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor.
"Itu terpulang kepada budi bicara dan masa Tuanku. Tertuduh tidak perlu hadir pada perbicaraan itu," katanya.
Hazman berkata beliau menfailkan petisyen itu selepas mendapat arahan daripada Azilah, 38, yang kini ditahan di Penjara Kajang.
"Setiap pesalah mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mengemukakan petisyen pengampunan diraja," jelas beliau.
Menurutnya sesi pendengaran itu nanti mungkin dihadiri lima atau enam anggota panel dengan dipengerusikan Sultan Selangor.
Menteri Besar Selangor, Peguam Negara atau wakil daripada Peguam Negara dan anggota-anggota lain yang dilantik oleh Sultan Selangor juga akan menghadiri sesi pendengaran itu.
Pada 13 Jan tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK Sirul Azhar Umar, 48, kerana membunuh Altantuya selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan mereka.
Dalam keputusan sebulat suara itu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah membunuh wanita itu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.
Pada hari mahkamah membuat keputusan, Sirul Azhar tidak hadir kerana telah melarikan diri ke Australia.
Bagaimanapun, dia ditahan pada 20 Jan tahun lepas oleh pegawai Imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah.
Dia kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.
Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.
#Altantuya #Azilah Hadri #Pengampunan Diraja #Sultan Selangor
;