Kes 1MDB, SRC: SPRM tahan sekutu Jho Low di klia2
Umavathi Ramayah
Mei 5, 2023 16:34 MYT
Mei 5, 2023 16:34 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang individu dipercayai sekutu kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low yang dipercayai terlibat dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) ditahan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), awal pagi Rabu.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), individu berusia awal 50-an itu ditahan sejurus tiba di kira-kira pukul 3.30 pagi.
Difahamkan, suspek yang dilaporkan menghilangkan diri sejak 2018 itu diserahkan notis perintah untuk hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira pukul 10 pagi, pada hari dia ditahan (Rabu).
"Penahanan itu dilakukan dengan hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa dari luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurut sumber itu lagi, SPRM sudah merakamkan keterangan suspek selain rumahnya digeledah pada hari yang sama.
Berdasarkan siasatan, sumber memberitahu, suspek dipercayai menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Katanya, SPRM kini sedang berusaha untuk membawa pulang beberapa lagi aset daripada individu-individu yang terlibat di Singapura.
"SPRM setakat ini berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion," katanya lagi.
Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) dilaporkan menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira AS$5.2 juta (RM23.08 juta).
Selain itu, siasatan juga membuktikan bahawa suspek telah menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).
Menurut sumber, pada 26 April lalu, SPRM dengan kerjasama CAD Singapura membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada syarikat Totality Limited milik Tang Keng Chee.
"Tang Keng Chee ataupun dikenali sebagai Casey Tang merupakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB dari tahun 2012 hingga 2013.
"Dia terlibat dengan 1MDB ketika itu dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2011.
"Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho (Jho Low)," kata sumber itu lagi.
Sumber berkata, pihak SPRM dipercayai telah mengeluarkan waran tangkap (Red Notice) bertarikh 29 Jun 2018 terhadap Tang Keng Chee yang masih tidak dapat dikesan dan telah menghilangkan diri kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama.