Kes 1MDB: Siasatan SPRM dapati Najib lakukan kesalahan salah guna kuasa - Saksi

Astro Awani
Mei 2, 2024 10:50 MYT
Najib menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa kerana menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bernilai AS$620 juta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Terdapat unsur penyalahgunaan kuasa oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan rasuah, berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MBD), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Saksi pendakwaan ke-49, yang juga Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Ariffin berkata, siasatan mendapati elemen salah guna kuasa itu dikesan sewaktu pemeteraian perjanjian bersama Aabar Investment PJS (Aabar PJS).
Saksi itu turut bersetuju bahawa bekas perdana menteri itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Nur Aida berkata demikian ketika disoal peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin sewaktu sesi pemeriksaan balas di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, pada Khamis.
Wan Azwan: Berdasarkan siasatan dijalankan, adakah Puan setuju bahawa Datuk Seri Najib telah menggunakan kuasa beliau untuk mendapatkan suapan susulan kelulusan 1MDB untuk memasuki usaha sama antara Aabar adalah satu bentuk salah guna kuasa?
Nur Aida: Betul.
Wan Azwan: Adakah Puan setuju bahawa isi kandungan surat yang menyentuh mengenai donation (sumbangan) atau derma yang akan dimasukkan ke akaun Tanore (Tanore Finance Corporation) adalah jelas satu kesalahan di bawah Seksyen 23 (Akta SPRM 2009)?
Nur Aida: Setuju.
Nur Aida turut bersetuju bahawa hasil siasatan dijalankan mendapati sebanyak AS$700 dan AS$300 juta dana 1MDB telah dipindahkan ke akaun syarikat Good Star Ltd, selari dengan keterangannya sebelum ini.
Najib, yang juga bekas Presiden UMNO, menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa kerana menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ketika itu untuk menerima suapan bernilai AS$620 juta (RM2.27 bilion).
Selain itu beliau juga menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
#1MDB #Najib Razak #pengubahan wang haram #Rasuah