Kes 1MDB Najib: Bersahabat dengan Jho Low berkaitan urusan kerja - Bekas pegawai bank
Bernama
Disember 8, 2022 19:14 MYT
Disember 8, 2022 19:14 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas pengurus perhubungan AmBank yang mengendalikan akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mempunyai hubungan kerja yang rapat dan bersahabat dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Joanna Yu Ging Ping, 51, berkata Jho Low sering menjemputnya untuk bertemu di pangsapuri milik ahli perniagaan itu di Jalan Kia Peng, bersama-sama dengan beberapa rakan rapatnya.
Bekas pegawai bank itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang bekas perdana menteri itu membabitkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata beliau diperkenalkan kepada Jho Low oleh pegawai atasannya, Chan Wan Seong di pejabat ahli perniagaan itu di Menara Berkembar Petronas pada 2007.
"Pertemuan itu terutamanya mengenai pinjaman Majestic Masterpiece Sdn Bhd," katanya sambil menambah bahawa Jho Low mempunyai tabiat memanggil pegawai bank untuk datang menemuinya di pangsapurinya.
Majestic Masterpiece dimiliki Wynton Private Equity Group dan Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corporation (ADKMIC). Jho Low adalah antara pengarah Wynton Private Equity Group.
Ketika ditanya Muhammad Shafee sama ada beliau pernah bersendirian dengan Jho Low pada bila-bila masa, saksi itu berkata biasanya beberapa pegawai 1MDB dan kroni Jho Low akan berada semasa pertemuan itu.
Yu juga mengakui beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Jho Low selepas waktu kerjanya.
Muhammad Shafee: Adakah kamu menjalin hubungan dengan Jho Low, maksud saya, sebagai seorang pegawai bank dan rakan? Yu menjawab "ya".
Muhammad Shafee: Saya tidak menyatakan kamu mempunyai hubungan yang tidak sewajarnya dengan Jho Low, tetapi mempunyai hubungan rapat dengannya, adakah saya betul? Yu menjawab "ya".
Muhammad Shafee kemudiannya menyoal Yu sama ada beliau telah ke Brazil untuk menyaksikan Piala Dunia. Saksi itu menjawab: "Saya tidak pernah ke Brazil".
Muhammad Shafee: Kamu tahu tak yang Jho Low membawa sekumpulan orang untuk menonton Piala Dunia?
Yu: Saya hanya tahu dari akhbar.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.
-- BERNAMA