Kes 1MDB: Jho Low dakwa ada bukti, bertindak atas arahan Najib - Saksi

Bernama
Februari 14, 2024 17:20 MYT
Jasmine Loo (kiri), Jho Low (kanan). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low pernah menyatakan beliau mempunyai bukti yang menunjukkan segala tindakan dilakukannya adalah mengikut permintaan, kehendak dan dalam pengetahuan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh Jho Low kepadanya ketika beliau mendesak lelaki itu berkenaan keperluan memasukkan wang yang banyak ke dalam akaun bank milik Najib.
Menurut saksi pendakwaan ke-50 itu, pada awalnya beliau tidak tahu mengenai kemasukan wang deposit sekuriti berjumlah US$576,943,490 dan US$790,354,855 yang dimasukkan dari akaun Aabar Investment PJS Limited (BVI) ke dalam akaun Blackstone Asia Real Estate milik sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong dan seterusnya dimasukkan ke dalam akaun-akaun lain termasuk akaun bank Najib.
"Saya tahu mengenai semua transaksi kemasukan wang ke dalam akaun Datuk Seri Najib melalui media dan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sekitar tahun 2015 dan 2016 dan saya bertanya kepada Jho Low mengenai perkara ini.
"Jho Low mengatakan ia untuk dana politik Barisan Nasional khususnya UMNO, namun selepas saya mendesak dan bertanya lagi kepada Jho Low berkenaan dengan hal transaksi-transaksi kemasukan wang yang banyak ke dalam akaun Datuk Seri Najib, Jho Low memberitahu saya supaya jangan risau," kata saksi itu ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 63 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.
Loo menambah Jho Low turut memberitahunya agar tidak mengambil sebarang tindakan (mengenai kemasukan wang ke dalam akaun Najib) kerana dia akan menguruskan segala-galanya.
Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membantah pernyataan Loo mengenai bukti-bukti yang didakwa dimiliki oleh Jho Low atas alasan ia adalah dengar cakap.
Terdahulu, Loo berkata beliau sering melihat Najib dan Jho Low bersama dan berada berdekatan di tempat sama dalam program-program atau acara yang berkaitan dengan 1MDB dan lelaki itu juga menyimpan kepala surat Pejabat Perdana Menteri kosong untuk kegunaannya.
"Kepala surat kosong berkertas kuning itu disimpan dalam satu sampul untuk kegunaan Jho Low sekiranya perlu. Sebagai contoh, saya pernah melihat surat tersebut berkenaan pelantikan Mohd Hazem Abd Rahman (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) yang disediakan di rumahnya di Jalan Kia Peng, di sini dan Jho Low memberitahu saya dia akan membawa surat itu kepada Datuk Seri Najib untuk ditandatangani.
"Satu lagi contoh adalah ketika Datuk Seri Najib menghadiri Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York. Ketika itu, Jho Low juga berada di sana untuk menunggu dan menyusun mesyuarat Datuk Seri Najib dengan pelabur Amerika Syarikat dengan kerjasama Goldman Sachs dan saya diarahkan (oleh Jho Low) untuk menghadiri mesyuarat tersebut dan melaporkan semula kepadanya berkenaan perkara yang dibincangkan," katanya.
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung.
-- BERNAMA
#1MDB #Najib Razak #Jho Low #Jasmine Loo
;