Kes 1MDB: Jasmine Loo disepina beri keterangan mulai 13 Feb
Astro Awani
Februari 5, 2024 17:15 MYT
Februari 5, 2024 17:15 MYT
KUALA LUMPUR : Pihak pendakwaan akan mengeluarkan sepina untuk bekas eksekutif 1MDB, Loo Ai Swan atau Jasmine Loo memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin, sepina itu akan dikeluarkan mulai 13 Feb nanti.
Susulan itu, Hakim perbicaraan Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta pihak pendakwaan memastikan saksi tambahan berada dalam keadaan bersiap sedia.
Ini bagi memastikan saksi tersebut boleh bertindak sekiranya saksi yang hadir tidak dapat meneruskan memberi keterangan.
Sequerah kemudian menunjukkan apa yang berlaku hari ini apabila pegawai penyiasat SPRM Nur Aida Arifin, yang merupakan saksi pendakwaan ke-49, tidak dapat hadir ke mahkamah sehingga sekurang-kurangnya esok kerana mengalami demam berjangkit dan selesema.
Akram kemudian menjelaskan bahawa Loo ialah saksi seterusnya selepas Nur Aida.
Sequerah: Sediakan saksi lain, untuk berjaga-jaga.
Akram: Sepina akan bermula pada 13 Feb (untuk Loo bersedia memberi keterangan di mahkamah).
Disebabkan Nur Aida sedang bercuti, Sequerah kemudiannya menangguhkan perbicaraan hari ini kepada Rabu.
Pada Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan penahanan Loo bagi membantu pihak berkuasa dalam mempercepatkan usaha pemulihan aset berkaitan skandal 1MDB.
Pasukan undang-undang Loo berkata dalam satu kenyataan media bahawa keutamaan saksi itu untuk bekerjasama dengan penguatkuasaan undang-undang.
Loo didakwa sebagai rakan rapat kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).
Ditangkap pada 7 Julai tahun lalu, dia didakwa sebagai penerima dana 1MDB yang diselewengkan.
Bagaimanapun, dia telah dibebaskan daripada tahanan dan kini berada di bawah perlindungan keselamatan oleh pihak berkuasa.
Loo, seorang graduan undang-undang, salah seorang suspek yang dikehendaki pihak berkuasa untuk memudahkan siasatan terhadap syarikat pelaburan negara yang bermasalah itu.